JellyPages.com

Tuesday, August 7, 2012

WarKah daripada AbaH


Nasyrin duduk sendirian di kamarnya. Dia termenung di tepi jendela yang terbuka luas. Petang menjadi suram tak bertepian. Air matanya terus menittis membasahi pipi. Nasyrin menangis kesepian tatkala teringatkan arwah ayahnya...
*****
"Itulah abah, asyik bising kat anak tu. Sudahnya, makan pun tidak mahu." Emak membuka bicara sebaik sahaja kelibat Nasyrin hilang daripada pandangan empat biji bebola mata itu.
"Saya bukan saja-saja mahu bising kat anak awak tu. Tapi cuba awak tengok cara dia menguruskan masanya, cara pemakaiannya. Saya ni bukan apa Muna, saya risau. Saya tanya awaklah, agak-agak awaklah, kalau saya mati nanti, boleh ke anak kita tu menguruskan jenazah saya ni?"
Abah terus bangun menuju ke sinki walaupun nasi baru saja sesuap masuk ke dalam perutnya yang agak buncit itu. Malas mahu duduk di meja makan itu lagi.
Emak membisu tanpa sebarang bicara. Dia termenung sejenak. Abah tidak pernah membicarakan mengenai soal kematian. Bukan langsung tidak pernah, cuma tidak pernah membicarakan dari sudut dia sendiri yang akan menghadapi perkara itu.
Abah duduk di sofa yang baru dibelikan oleh Along. Tangan abah ligat menggerakkan tasbih yang berada di tangannya sambil terkumat-kamit berzikir. Nasyrin hanya melihat dari jauh. Novel pada tangannya hanya menjadi hiasan. Matanya merenung tingkah laku abah.
*****
"Amir, aku perlukan bantuan ko lah. Kau busy tak sekarang?"
"Tolong apa? Kalau boleh, aku cuba." Amir ialah rakan sekampung Nasyrin merangkap kawan baiknya sejak kecil lagi.
"Aku nak cari kerja. Kau ada cadangan tak?" ujar Nasyrin.
"Kau nak kerja macam mana, Nasy?"
"Buat masa ni, aku rasa tak nak pergi jauh-jauh daripada keluarga. Apa-apa kerjalah, yang penting halal."
"Esok petang kau ikut aku. Tapi, aku nak tahu kenapa kau tak nak jauh daripada keluarga? Sebelum ini, kau yang beriya-iya nak kerja jauh daripada keluarga."
Nasyrin membisu. Rasa seperti hendak bangun meninggalkan Amir tetapi punggungnya seperti melekat di atas kerusi yang didudukinya itu. Kakinya digoyangkan perlahan. Sekejap dia mendongakkan pandangan ke langit dan sekejap dia menundukkan kepalanya ke bumi. Amir sepi melihat gelagat temannya itu. Malas untuk menyoal temannya itu kerana dia tahu yang temannya sedang diulit seribu masalah.
*****
"Nasyrin dah solat?" soal abah perlahan. "Dari waktu makan tadi sehinggalah ke saat abah menegur, abah nampak Nasyrin terpaku di hadapan televisyen itu."
Nasyrin menoleh ke arah abah yang tegak berdiri di sebelahnya. "Belum, bah."
"Solat dulu, nak. Dah hampir jam empat, waktu Asar pun sudah dekat." Nasyrin bangun tanpa membantah. Benar kata abah. Waktu Asar hampir tiba.
"Selepas solat, tunggu waktu Asar kita solat berjemaah bersama emak."
"Abah tak pergi ke surau ke hari ni?" ujar Nasyrin.
Abah menggeleng perlahan. "Sekali-sekala abah nak solat berjemaah bersama emak kamu dan anak-anak abah di rumah."
'Benar kata emak. Abah betul-betul lain!' fikir Nasyrin di dalam hatinya.

"Nasyrin iqamat, abah imam." Abah memberi arahan kepada Nasyrin.
Selesai solat, doa dan bersalaman, emak terus ke dapur untuk menyediakan minum petang. Nasyrin bangun dan menuju ke muka pintu serambi rumah. Nasyrin melunjurkan kakinya ke atas anak tangga teratas.
"Nasyrin..."
"Ya, abah?"
"Nanti kalau abah sudah tiada Nasyrin tolong jaga emak baik-baik ye?"
"Abah tidak percayakan Nasyrin ke? Kenapa abah cakap macam tu?"
"Bukan abah tak percaya kat Nasyrin. Abah cuma mahu Nasyrin lebihkan masa untuk mak selepas abah tiada nanti.
"Di dunia ni tiada satu benda pun yang akan kekal. Nyawa ini hanya pinjaman dariNya." Nasyrin diam membisukan diri dan hanya mendengar apa yang dibicarakan oleh abahnya.
"Setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit semuanya akan mengalami kematian sama ada cepat ataupun lambat. Tapi nak ke kita mati dalam keadaan yang tidak mensyukuri nikmat yang telah Allah berikan kepada kita?"
"Maksud abah?"
"Nyawa kita satu kurniaan. Oksigen yang Allah bekalkan tanpa minta bayaran, satu nikmat kepada kita. Jadi, macam mana kita patut tunjukkan yang kita bersyukur kepadanya?"
"Bagaimana?"
"Jujur dengan abah, berapa kali Nasyrin meninggalkan solat dan puasa? ... Nasyrin dah besar, dah pandai fikir yang mana baik dan yang mana buruk. Nasyrin fikirkanlah apa yang abah cerita tadi. Solat adalah salah satu cara untuk kita mensyukuri nikmat yang telah diberikanNya."

Subuh pagi itu sungguh dingin dan suram. Emak mengejutkan abah. Namun, abah masih tak bangun. Menguit pun tidak. Selalunya waktu begini abah sudah berada di tikar sejadah. Apa yang berlaku pada abah membuatkan emak kalut. Mungkin inilah hari yang abah tunggu-tunggu sejak kebelakangan ini. Emak segera ke kamar Nasyrin. Kamarnya terkunci dan emak mengetuk perlahan-lahan.
Nasyrin bangun dan membuka pintu biliknya. "Emak, kenapa mak? Kenapa mak nangis?" Emak sudah tidak mampu menampung bebanan kandungan dan akhirnya kolam air itu pecah juga.
"Abah ....!"
"Emak, kenapa dengan abah?"
Emak melafazkan kalimah istirja' dan membawa Nasyrin ke kamarnya. Kedua-dua mata abah sudah tertutup rapat, tangannya juga sudah dalam keadaan seperti sedang bersolat - seperti sudah tahu masanya sudah tiba. Emak bangun dan mencari kain untuk menutup seluruh tubuh abah. Nasyrin hanya melihat dengan kecewa kerana dia sedar dia miskin dalam bidang agama.
"Nasyrin bantu emak menghadapkan abah ke arah kiblat?"
"Ya, mak ..." Nasyrin hanya mengikut apa yang emak pinta.
"Nasyrin pergi menunaikan solat subuh dahulu, sebelum waktunya habis. Nanti usai sahaja solat Nasyrin jumpa Ketua Kampung dan Tok Imam dan beritahu yang abah sudah meninggal dunia, ya nak!" Nasyrin hanya menggangguk tanda faham akan arahan emak.
Emak bangun menuju ke almari untuk mengambil senaskhah Yasin lalu duduk di sebelah abah. Emak memulakan bacaan Yasin dengan suara yang perlahan. Emak menyedekahkan Yasin kepada abah.
*****

Sudah tujuh hari abah pergi meninggalkan keluarga. Emak kelihatan tenang sahaja. Mungkin emak sudah bersedia semenjak abah menunjukkan perubahan yang tidak pernah abah lakukan.
Nasyrin duduk di meja makan. Pagi itu, emak menyediakan sarapan pisang goreng dan secawan teh. Nasyrin hanya termenung. Makanan itu menjadi santapan matanya sahaja. Nasyrin teringat sewaktu abah menghantarnya ke sekolah dahulu, setibanya di sekolah abah akan mencium dahinya dan berpesan, "Nasyrin belajar sungguh-sungguh. Nanti dah besar boleh bantu abah dan emak." Ketika itu, Nasyrin hanya tersenyum dan mengangguk.
"Nasyrin, apa yang di menungkan tu? Sudahlah nak, yang pergi tetap pergi yang hidup ni harus teruskan perjuangan. Kerana yang hidup pasti merasai kematian. Tidak boleh tidak. Abah pergi dahulu sebelum kita sebab Allah lebih menyayanginya."
Jam menunjukkan pukul dua pagi. Nasyrin terbangun lalu menuju ke kamar emaknya. Nasyrin mengetuk pintu perlahan-lahan. Emak tersedar daripada tidur dan segera membuka pintu kamarnya. Nasyrin menerpa masuk dan menuju ke almari abah, mencari sesuatu.
Emak berasa hairan dan menegur Nasyrin, "Nasyrin buat apa menggeledah almari abah?"
"Emak, Nasyrin mimpi abah. Dalam mimpi tu abah kata abah ada tinggalkan surat untuk Nasyrin."
"Nasyrin rindukan abah, ya?"
"Ya, mak. Tapi Nasyrin rasa mimpi Nasyrin ni betul. Sebelum ni tak pernah Nasyrin mimpi abah. Mak boleh tolong Nasyrin carikan surat abah tu?"
"Sekejap, mak ada teringat yang abah ada menyembunyikan sesuatu dalam almari ni. Tepi. Biar mak cari sekejap."
Akhirnya, emak terpegang sesuatu lalu dikeluarkan. Nasyrin tersenyum. Nasyrin membuka dan terus membaca surat yang bersaiz A4 itu.
'Buat tatapan anak abah yang disayangi. Terlebih dahulu abah mohon maaf atas pemergian abah yang terlalu cepat. Abah tahu Nasyrin malu dengan abah sebab Nasyrin banyak hutang pada abah. Tak pe, abah sudah halalkan semua. Abah tak berharap Nasyrin membalas semua yang pernah Nasyrin janji pada abah. Perkataan yang selalu abah guna sewaktu Nasyrin berjanji pada abah hanya untuk menaikkan semangat Nasyrin untuk menjadi orang yang berjaya. Dan sekarang Nasyrin sudah buktikan yang Nasyrin sudah berjaya cuma kurang bernasib baik.
'Nasyrin, abah selalu mendoakan anak-anak abah supaya menjadi seorang yang baik, taat pada perintah Allah dan mendapat pekerjaan yang baik. Mungkin Nasyrin belum mendapat pekerjaan kerana itu bukan pekerjaan yang baik untuk anak abah ini. Tapi kali ini, abah nak Nasyrin berjanji sama abah yang Nasyrin akan jaga emak dengan sebaik yang mungkin. Emak memang nampak tabah sebab tak mahu menunjukkan kesedihan di hadapan Nasyrin. Tak mahu melihat nasyrin semakin bersedih.
'Abah berharap sangat Nasyrin tidak meninggalkan solat lagi. Abah suka tengok Nasyrin rajin solat seperti dulu.Sejuk hati abah melihat anak-anak abah solat kerana anak-anak abahlah tiket abah dan emak ke jannah. Janji bersama abah, ya nak? Akhir kalam, Assalamualaikum. Abah sayang Nasyrin sepenuh hati abah walaupun abah tak pernah ungkapkan pada Nasyrin.'
Nasyrin melipat surat yang ditinggalkan oleh abahnya. Air matanya terus menderu laju. Nasyrin memeluk emak yang dari tadi duduk di sebelahnya. Emak juga mengalirkan air mata melihat anak bongsunya itu.
Setahun kemudian, Nasyrin menjadi seorang yang berjaya. Dia digelar usahawan berjaya di kampungnya dan mula terkenal di seluruh Malaysia. Nasyrin teringat akan kata-kata abahnya, "Mungkin Nasyrin belum mendapat pekerjaan kerana itu bukan pekerjaan yang baik untuk anak abah ini."

~copypaste www.iluvislam.com .. maaf krew2 iluvislam,nak share je ~ semoga bermanfaat :) InsyaAllah