JellyPages.com

Wednesday, January 26, 2011

~DENDAM~

      Meradang betul hatiku apabila buku latihan Fizik yang baru kubeli semalam telah terconteng dan terkoyak di sana sini.Dahulu,sewaktu aku pulang bercuti,buku kerja Kimia aku menjadi mangsa sehingga aku didenda oleh Puan Maria,guru Kimiaku.

      Kemudian buku teks Geografi aku dikerjakannya pula.Terpaksalah aku mengorek tabung arnab untuk membeli buku teks Geografi yang baharu.Boleh dikatakan,setiap kali aku pulang bercuti,aku akan bertukar buku latihan baharu.

      "Ini mesti kerja si budak kecil itu,"rungutku dengan nada geram yang membuak-buak dalam dada ini.

      "Nantilah,kalau aku dapat engkau,teruk engkau aku kerjakan."Dengan langkah yang pantas,aku menuju ke ruang tamu.Mataku liar memandang sekeliling.Takut kalau-kalau ibu ada di situ.Kalau ibu ada,peluangku untuk memarahi si budak kecil itu tipis.Ibu lebih suka mnyebelahi budak kecil itu walaupun kesalahan yang dilakukan olehnya adalah terlalu besar sehingga aku dapat rasakan ketidakadilan  ibu.

      "Angah!"
      Wajah comel yang sedang leka mengoyakkan surat khabar menoleh ke arahku dengan limpahan senyuman manja.Ah,sakit hatiku melihat senyumannya!

      "Siapa koyakkkan buku Along?"Angah membisu.Wajah yang manis berubah menjadi pucat.Bola matanya memandang tepat ke dalam anak mataku.Kemudian melarikan pandangannya jauh daripada wajahku.Hatiku senang melihat ketakutan yang terpancar pada wajah Angah.

      "Nak jadi apa Angah ni ... senang-senang koyakkan buku Along!"
      "Angah cuma tengok saja ..., " katanya.

      Ketika itu aku terpandang cebisan kertas yang berselerakan di atas sofa biru.Aku tatapi betul-betul... .
      Ah,nakal punya adik!Habis majalah kesayanganku dikoyakkannya pula.Aku meluru ke arah Angah dengan buakan api baran.Tanpa kusedari,tanganku ringan saja menyinggahi pipinya itu.Angah terjatuh di atas sofa lalu menangis.

      "Dah tak ada buku lain yang Angah nak koyak,asyik buku Along saja,"gerutuku dengan memandang benci kepada Angah.Raungan Angah semakin menjadi-jadi.Aku tidak mempedulikan tangisan itu.Cebisan-cebisan kertas yang berselerakan di atas sofa kupungut dengan dongkolan hati.Habis duit aku untuk membeli majalah ini lagi.Belum habis dibaca sudah menjadi mangsanya.
      "Pergilah dari sini!Memekak saja!"
      Aku menolak tubuhnya.Angah terjatuh sekali lagi lalu mengangkat kaki,meninggalkan aku seorang diri di ruang tamu.

      "Meraunglah sepuas hati engkau,biar sesekali engkau rasa penangan aku!Kalau ibu tak pandai mengajar engkau,biar aku yang mengajar engkau!"gerutuku berterusan.Hati ini semakin membengkak dengan putik-putik dendam.
      "Along,apa yang kau buat?Satu suara menyapa aku.Aku mendongak. "Ibu?"Gelabah aku dibuatnya.Aku cuba berlagak setenang yang boleh.Mana tahu kalau-kalau ibu melihat aku menanpar Angah.
      "Mana Angah?"tanya ibu dengan kehairanan kerana buah hatinya tidak kelihatan di situ.Habislah aku kali ini.Apa yang akan kujawab kalau Angah mengadu kepada ibu.Apalah nasib aku kali ini?

      "Along,mana Angah?"ibu mengulangi pertanyaannya.
      "Entah,tadi ada di sini.Koyakkan surat khabar ini,aku menuding ke arah sampah yang dibuat oleh Angah.

      "Mengapa Along biarkan dia seorang saja?Nanti dia main di jalan,siapa yang susah?"Ibu mula berkhutbah di depanku.Aku mengeluh perlahan.Sudah jenuh telinga ini mendengar kebimbangan ibu terhadap keselamatan Angah .Angah saja yang difikirkannya ,aku?Aku bagaimana pula?Ibu memang tidak adil!Berat sebelah!
     Tiba-tiba . . .
      "Ibu!Ibu balik!"laung Angah dari halaman rumah.Hatiku kecut bukan kepalang apabila melihat Angah berlari-lari anak mendapatkan ibu.
      "Angah ke mana ,sayang?"tanya ibu dengan penuh kasih sayang apabila Angah berada di dalam pelukannya.Meluat aku!

      "Angah main dekat buaian.Ibu ... ibu tadikan ... ,"Angah bersuara tetapi kata-kata itu tidak dihabiskannya.
      Aku merenung wajah Angah dengan penuh kebencian yang meluap-luap.Angah seakan mengerti pandanganku.Dia memeluk ibu tanpa meneruskan percakapannya.Ibu kulihat gembira sekali apabila Angah berada di sisinya sehingga aku seakan-akan tidak wujud di hadapannya lagi.Sedih hati ini bukan kepalang lagi apabila diperlakukan begitu oleh ibu sendiri.

      Menagih kasih daripada ayah,sama seperti menagih kasih daripada ibu.Ayah dan ibu seakan percaya akan tilikan bidan yang membidankan kelahiran Angah.Aku sungguh hairan melihat ayah dan ibu,yang termasuk dalam golongan intelek,masih percaya kepada tilikan yang mengatakan Angah akan membawa tuah kepada keluarga ini.Bagi aku,kelahiran Angah merupakan kesengsaraan kepada diriku.Mana tidaknya,kalau semua kesalahan Angah terpaksa aku tanggung.Demokrasi seakan lenyap dalam keluarga ini.

      Selesai menikmati hidangan malam,kedengaran ayah merungut-rungut marah akan sesuatu.Entah apa-apa yang dirungutkan oleh ayah.Tentunya,budak kecil itu yang membuat hal lagi.Hal ini bermakna aku akan menjadi habuan segala kemarahan ayah.Malang betul nasibku menjadi kakak kepada pengacau kecil itu.Apakah kesalahan aku sebagai anggota tertua dalam adik-beradik sehingga aku dijadikan tempat melemparkan segala tuduhan?Perit di hati tidak dapat kugambarkan lagi.

      Dahulu,Angah mengoyakkan wang kertas sepuluh ringgit,ayah telah menyekat wang kocekku selama sebulan.Terpaksalah aku menebalkan muka untuk meminjam wang daripada teman seasrama.Selepas itu,pasu bunga buatan negara Cina yang menjadi kesayangan ibu dijahanamkan oleh Angah.Aku dihukum membersihkan halaman rumah selama sebulan oleh ibu semasa cuti penggal ketiga.Betapa peritnya hati dan perasaan ini apabila menjalani hukuman yang aku sendiri tidak melakukannya.Dendam yang mulai memutik di dada ini kian hari kian merebak menguasai ke segenap penjuru hatiku.

      "Along!"
      Langkah yang gontai kuhanyunkan ke bilik bacaan ayah.Perasaan cuak mengusik api dendam yang membara di dada ini.Alangkah seksanya menjadi kakak adi, yang nakal.Kalau aku tahu begini jadinya,sumpah aku tak ingin mempunyai seorang adik.Bosan aku dengan perangainya yang senantiasa menyakitkan hatiku.

      Tangkai hatiku bagai direntap apabila aku terpandang akan Angah yang sedang menyorok di belakang ibu.Ah,ibu selalu menyebelahinya!Masih jelas terbayang di layar ingatan ini betapa garangnya ibu ketika memarahiku demi mempertahankan anak kesayangannya itu.

      "Perkara macam itu pun engkau hendak beser-besarkan.Angah bukankah adik engkau?"Bersahaja ibu berkata,"Tetapi,buku yang Angah conteng ini buku layihan Along."Aku semakin berasa tidak puas hati dengan kata-kata ibu.
      "Belilah yang baharu,buat yang lain."Senang sekali ibu menjawab.Aku semakin berasa tidak puas hati dengan kata-kata ibu.
      "Nak beli yang lain memang boleh,tetapi apa yang Along hendak salin,kalau semuanya sudah terconteng?"Aku masih memohon simpati ibu,tetapi... .
      "Kalau berusaha , semuanya menjadi.Jangan jadi orang malas,"balas ibu acuh tak acuh.
      "Ibu tak adillah.Ibu berat sebelah!"bentakku geram.
      "Along!Engkau tahu dengan siapa engkau bercakap?"tengking ibu sambil membeliakkan matanya.Tangannya mencekak pinggang.Hatiku dijirus lahar beracun.
      
      "Kalau Along tahu beginilah jadinya,Along tak mahu pulang bercuti di rumah.Sakitkan hati!Sakitkan mata!"
      "Along!"

      Mataku dipejamkan rapat-rapat sambil menarik nafas kebosanan.Aku ingin membuang wajah Angah jauh daripada memasuki hati dan perasaanku.Namun,usahaku tidak berjaya.Tawa dan senyuman Angah seakan-akan dipateri di dalam kotak kepala.Ah,rupa-rupanya diri ini telah dibelenggu oleh ketidakadilan ibu,ketegasan ibu,ketegasan ayah,dan kesalahan yang dilakukan oleh Angah!
      "Along!"
   
      Keluhanku bertaburan di lantai bilik bacaan ayah lalu kutatap wajah ayah yang diselubungi api berang.Aku melihat bola mata ayah yang seakan-akan mahu menelan tubuhku.Tentunya,kesalahan yang Angah lakukan cukup besar.
      "Mengapa kau biarkan Angah masuk ke bilik bacaan ayah?Engkau tengok tu ... habis kertas kerja ayah!"Aku hanya mampu menjeling ke arah ronyokan dan cebis-cebisan kertas yang berselerakan di atas meja.Budak kecil itu sudah melampau kali ini,getus hati kecilku.

      "Jadi kakak pun tak berguna!"Jerkah ayah disusuli dengan rungutan yang memanjang.Kali ini tangkai jantungku seolah-olah terputus lalu dimamah dengan begitu lahap pleh api dendam yang membara.Pilu diriku pada mata ayah.Inikah yang dinamakan keadilan?
       Aku menarik nafas panjang untuk mengumpulkan semangat yang baru dipatahkan oleh hakim mahkamah yang disanjungi masyarakat.Aku memandang ayah dengan suatu perasaan memberontak.
      "Ayah tidak adil kerana memarahi Along saja.Angah yang buat silap,mengapa Along yang ayah marah?"Ada riak tak puas hati pada wajahnya itu.

      "Bukankah engkau kakaknya?
      "Kalau Along kakaknya,tak semestinya kesalahan Angah ditanggung oleh Along,alasan yang tidak munasabah,"begitu cermat aku menyusun ayat.Ayah terdiam sejenak.
      "Jadi,Along mahu alasan yang bagaimana?"tiba-tiba ibu mencelah di antara aku dengan ayah.Angah tidak kelihatan bersama-sama ibu.Mungkin menyorok di bawah katil.Itulah kebiasaan Angah apabila ayah dan ibu mengamuk.

      "Sebagai hakim,tentunya ayah tahu erti keadilan."
      "Maksud Along,selama ini ayah tidak adil?"terbeliak mata ayah apabila dicabar oleh kata-kataku.
      "Keadilan bukan saja wujud di mahkamah tetapi juga mesti wujud di rumah ini.Along sudah jemu menerima hukuman bagi kesalahan yang bukan Along lakukan.Kalau ayahbermati-matian membela pesalah atau yang tertuduh,mengapa ayah tidak melakukan seperti itu di dalam rumah ini?Ayah dan ibu mesti berlaku adil."Ayah kelihatan tenang,mendengar penjelasanku tetapi ibu semakin diburu api kegelisahannya.

      "Sejak bila Along pandai mengajar orang tua?Sejak bila ... hah!"Sergah ibu yang sejak tadi hanya mendiamkan diri bersama-sama kegelisahannya.
      "Tak terlintas di hati Along buntuk berbuat begitu,"air mata mula tergenang di kelopak mata.Ngilu benar hati ini apabila ibu menyindirku dengan kata-kata yang menghiris hati kecilku.
      "Engkau sudah melampau sekarang.Biadap!"
      "Biadapkah namanya kalau Along berbuat sesuatu untuk membela diri sendiri?Salahkah Along membela diri,salahkah ayah?Apakah seseorang itu tidak berhak bersuara untuk membela dirinya?"

     "Sudah! Jangan Along hendak menjadikan rumah ini mahkamah pula.Soalnya,sekarang Along sudah biadap.Setahu ibu,anak ibu tak adapun yang biadap,"berang benar ibu mendengar kata-kataku.
      Ayah masih membisu.Sepatah perkataan tidak kedengaran daripada bibirnya.Perlakuan ayah membuat aku kecewa.Kecewa kerana ayah tidak membela diri ini dan mewujudkan keadilan yang dimegah-megahkan oleh ayah di dalam dewan mahkamah.

      Hati yang sakit masih belum puas selagi dendam di hati ini belum kutunaikan.Buku-buku yang tersusun di atas meja tulis kulemparkan satu per satu ke dinding.Novel yang dihadiahi ibu sewaktu hari jadiku menjadi sasaran utama api kemarahanku.Begitu juga dengan baju gaun merah jambu pemberian ayah sewaktu dia melawat ke Amerika Syarikat turut menjadi mangsa.

      "Ibu tak adil! Benci ! Aku benci !"jeritku bersama nada esakan yang semakin menyempitkan dadaku.Ayah dan ibu terlalu kejam membiarkan aku berterusan begini.Apakah kerana Angah masih kecil,maka segala kasih sayang dicurahkan kepadanya?Ah, . . . ibu tak adil ! Ayah berat sebelah.
      Tiba-tiba ada sesuatu menyentuh tubuhku.Aku menoleh.Di birai katil kelihatan sesusuk tubuh kecil yang senantiasa aku dendami.

      "Angah!"Wajah comelnya terserlah tatkala namanya kusebut."Siapa suruh masuk bilik Along?Keluar!"jeritku dengan penuh kebencian dan kebosanan semenjak pengacau kecil itu muncul.
       "Along menangis ya?"tanyanya lembut bernada memujuk.
       "Itu bukan urusan engkau,keluar!Kalau tidak Along pukul nanti!"Aku mencapai tali pinggang kulit yang berada berdekatan tempat dudukku.Angah tidak menghiraukan ugutanku malah semakin mendekatiku tanpa rasa curiga.

      "Angah sayang Along.Along jangan menangis ya!"
      "Siapa sayang engkau?"bentakku dengan bengis.
      "Along kakak Angah,jadi Angah sayang pada Along."
      "Ah, . . . Along bukan kakak engkau!Along tak ada adik macam engkau.Jahat!Menyusahkan orang!"

      "Angah janji tak jahat lagi.Along jangan nangis lagi,"balasya dengan petah. "Ayah dan ibu marah Along.Ibu jahat.Ayah jahat juga,"sambungnya seraya mencuba mendekati aku lagi.
      "Semuanya kerana engkau!Kalau bukan kerana engkau aku tak jadi begini,faham!Aku tak suka tengok muka engkau!Aku benci!Keluar!"Aku menolak tubuh kecil itu jauh daripadaku.Angah terjatuh dan memandang sayu.

      "Angah keluar dahulu.Nanti Angah datang ya,"katanya manja lalu bangun perlahan-lahan.Lututnya diurut-urut perlahan,sakit."Angah keluar duu ,ya Along!"katanya lagi lalu berlari keluar.Tubuh kecilnya hilang di balik daun pintu kamarku.Seketika itu,aku mendengar tawa Angah menguasai ruang tamu.Benci!Aku benci!
       Perasaan marah masih tetap menguasai aku.Aku cuba memerah otak mencari jalan untuk membalas dendam terhadap Angah.Biarkan dia tahu betapa sakit dan bencinya hatiku terhadap dirinya.Semalam-malaman itu aku berfikir untuk mengatur rancangan kotor ini dalam usaha membalas dendam.Akhirnya,aku terlena dengan senyuman puas.

                                                      *        *         *

      "Siapa yang putuskan rantai mutiara ibu?"Pagi-pagi lagi ibu sudah bising.Semua orang di dalam rumah itu dikejutkan oleh suara ibu yang lantang.
      "Angah main rantai ibu ,ya?"Angah diam membisu.Tangannya manggaru-garu kepala sambil menguap panjang seperti orang yang baru tersedar daripada mimpi yang indah.
      "Sudahlah ! Rantai itu boleh dibetulkan,"ayah cuba menenangkan ibu.
      "Mana boleh,bang!Ini rantai pusaka turun-temurun keluarga saya.Kalau dibetulkan hilanglah keasliannya.Lagipun rantai ini akan diwarisi oleh anak-anak saya.Takkan barang yang sudah rosak boleh diwarisi lagi.Oh, . . . bagaimana ini bang?"

      Aku diam lagi.Selimut kutarik untuk membungkusi badanku dan pendengaranku.Tentunya rantai pusaka nenek yang ibu maksudkan.Bosan.Ibu memang sayang akan rantai itu.Pantang kalau aku atau Angah memegang atau mencuitnya.Ibu pasti melenting.

      "Angah cakap pada ibu,Angahkah yang putuskan?"Angah masih tetap membisu.Tidak tahu apa-apa yang berlaku.Ibu resah.
      "Along!"Serta-merta tubuhku bagai direntap untuk bangun segera.Aku menggeliat malas.Perlahan-lahan aku berjalan ke kamar ibu.
      "Mengapa?"
      "Siapakah yang putuskan rantai ibu?"
      "Along tak tahu!"Ibu melihatku dan Angah silih berganti.Aku bersikap setenang yang boleh.
      "Tak mungkin Angah."
      "Manalah Along tahu siapa yang melakukannya?Along bukannya polis atau hakim.Yang Along tahu ibu pernah berpesan bahawa kamar ibu ialah kawasan larangan bagi along tetapi bukan Angah."Ibu memandang Angah penuh kesangsian.Angah tunduk memandang jari kakinya.

      "Angah putuskan rantai ibu,ya?
      Angah memandang wajahku.Aku menarik nafas panjang berbaur geram melihatnya.
       "Kalau dia berani mengoyakkan kertas kerja ayah,tentulah dia berani putuskan rantai ibu,"aku mencelah.Ibu semakin gelisah.Ibu alihkan pandangannya ke wajah ayah.

      "Engkau nampak dia melakukannya?"Ayah yang membisu sejak tadi kini bersuara.Ayah memandangku.Pandangannya curiga.
      "Tidaklah,yang pasti along tidak melakukannya.Ayah mesti berlaku adil.Sebagai hakim,ayah tidak boleh menjatuhkan hukuman kepada orang tanpa sebarang bukti."

      "Engkau mahu ayah menghukum Angah?"
      "Terserah,kalau ada banyak bukti yang menunjukkan Angah bersalah.Kalau ayah boleh menghukum Along tanpa sebarang bukti,mengapa Angah tidak?Keadilan harus wujud di dalam rumah ini,"tegasku dengan api dendam yang membara.Ayah terdiam.Paip di tangan disuakan ke bibirnya.
      Melihat cara ayah,hatiku bertambah dihimpit oleh perasaan sakit hati.Dengan dongkolan yang semakin menggunung,aku berlalu menuju ke kamar.Kecewa benar hatiku apabila ayah tiada mengambil sebarang tindakan. 

      Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara jeritan yang diselang-seli dengan tangisan.Aku amati suara itu.Angah!Bunyi sebatan tali pinggang jelas kedengaran.Aku terpaku.Beginikah caranya ayah menjalankan hukuman?Kejamkah aku sebagai kakak?Aku menutup telinga.Tak sanggup aku mendengar tangisan Angah yang berlagu-lagu itu.

      Tengah hari,petang berterusan hingga malam,hatiku kosong tanpa suara tawa nakal Angah.Kelibat tubuh kecil yang manja itu entah ke mana menghilang.Ayah dan ibu mengasingkan diri tanpa sepatah kata pun.Masing-masing membawa hal sendiri.Rumah ini seperti tongkang pecah yang baru saja dilanda ribut taufan yang maha dahsyat.

      Aku cuba memikirkan hal Angah.Bagaimana agaknya Angah sekarang?Tentunya tubuh kecil itu lebam apabila dihinggapi tali pinggang kulit kepunyaan ayah.
      "Kasihan Angah!"
      Entah mengapa ayat ini yang terkeluar daripada bibirku.Aku tidak menyangka perkataan dendamku yang membara ini mengakibatkan Angah disebat ayah.Setahu aku,ayah tidak merotan anak-anaknya apatah lagi mahu menampar atau mencubit.

      Masih kuingat.sewaktu usiaku sebaya Angah,ayah tidak merotanku atau menyakiti tubuhku ini.Sehinggalah aku dewasa dan aku mendapat seorang adik,aku tidak pernah merasai keazaban dirotan oleh ayah.Oh,Tuhan! Kejamkah aku?adilkah aku terhadap Angah?
      Apabila malam semakin larut,aku memasuki kamar ANgah,sunyi.Hatiku dilanda resah.Perlahan-lahan aku menghampiri Angah yang sedang lena di katil.Perasaan simpati menguasai diriku.

       Aku menyelak baju kurungya hingga ke paras bahu.Oh,Tuhan!Garis-garis merah dan biru jelas kelihatan.Entah mengapa,sebak di dada ini membuak-buak tanpa kuundang kehadirannya.Aku memeluk tubuh Angah dengan penuh kesal.Dendam aku membuat Angah menderita.Angah mengeliat.Ada rengetan kedengaran.Hatiku semakin dihambat sayu.
      "Angah,maafkan Along."

      Angah memandang dengan kehairanan.Senyuman nakal diberikan untukku.Angah membalas pelukanku dengan erat.Betapa senyuman itu melukakan hatiki.Angah tidak pernah kenal akan apa erti sedih.Kesal melanda hatiku.
      "Along nangis,ya?"tanyanya lagi sambil mengesat air mata yang berjuaraian jatuh menimpa pipiku.
      "Angah maafkan Along!"

      Angah tersenyum. "Janganlah Along menangis.Angah tak cakap pun pada ibu yang Along masuk bilik ibu."
      "Angah!"Hanya itu saja yang terkeluar daripada bibir ini.
      "Angah boleh simpan rahsia.Angah tak bohong.Angah tak susahkan Along.Along sayang Angah tak?"

      Aku mengangguk sambil memeluk dam mencium pipi Angah.Baru kali pertama aku memeluk dan menciumya.Angah ketawa riang apabila aku di sisinya.Baru kusedar sekarang aku ada seorang adik yang memerlukan kasih sayang dan perhatianku.Oh , Tuhan!Betapa selama ini aku dikongkong oleh dendam yang membodohkan diri aku sendiri.Angah maafkan Along!
                                                                                                                                               FINISH



   









2 comments:

Jari-jari ComeL